PENGENALAN

Jabatan Kemajuan Masyarakat atau lebih sinonim dikalangan khalayak umum sebagai KEMAS adalah lanjutan dari Bahagian Pelajaran Dewasa yang telah ditubuhkan pada 1961, melalui kertas kabinet Bil.385/25/60 dengan memberi fokus utama kepada program "Pembasmian Buta Huruf".

Menjelang tahun 1977, gerakan membasmi buta huruf ini telah dipertingkatkan dengan pengenalan konsep 'Functional Literacy' oleh UNESCO sebagai satu usaha untuk menjadikan gerakan membasmi kemiskinan sebagai salah satu strategi membangunkan masyarakat luar bandar. Berikutan pelancaran "Dasar Ekonomi Baru" (1970), Bahagian ini telah ditukar namanya kepada "Bahagian Kemajuan Masyarakat" (KEMAS) dengan penekanan kepada usaha-usaha pembangunan masyarakat dalam erti kata sebenar.

Monday, November 16, 2009

SIDANG MEDIA SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN TABIKA KEMAS KAWASAN BAYAN BARU - Swasta diminta bantu Tabika Kemas

PULAU PINANG 15 Nov. - Sektor swasta diminta tampil memberi sokongan bagi membantu kerajaan membangunkan modal insan yang berkualiti di negara ini terutama di peringkat prasekolah.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, pendidikan prasekolah antara komponen yang penting dalam sistem pendidikan negara pada masa kini.
Katanya, melalui pendidikan tahap itu, nilai-nilai murni akan dapat disemai ke dalam diri anak-anak.
''Kita semua sedar, anak-anak ini akan menjadi pewaris kepimpinan negara satu masa nanti. Justeru mereka ini tidak boleh kita mempersia-siakan.

''Janganlah hanya mengharapkan kerajaan. Sektor swasta digesa sama-sama membantu. Bantuan boleh dilakukan dalam pelbagai cara termasuk menyediakan premis untuk Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) selain membantu menghulurkan bantuan kewangan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Tabika Kemas kawasan Bayan Baru.

Jelas Hasan, peranan sektor swasta juga amat diperlukan terutama di negeri-negeri yang dikenalpasti sukar mendapatkan tempat untuk diadakan Tabika Kemas kerana kekurangan tanah atau akibat pelbagai masalah lain.


No comments: