2012/05/06
SEREMBAN: CUEPACS hari ini menuntut kerajaan mencari penyelesaian segera
berhubung tiga perkara yang membelenggu hampir 16,000 kakitangan
kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) seluruh negara.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, perkara itu antaranya ialah
melanjutkan umur persaraan wajib mereka yang pada masa ini 58 kepada 60
tahun selaras dengan pelaksaan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang baru.
Omar berkata, beliau sudah maklumkan perkara ini kepada menteri
berkenaan baru-baru ini dan berharap menteri itu dapat mengambil
tindakan secepat mungkin.
"Mereka ini sudah berkhidmat lama dalam Kemas dan tidak ada pencen dan
pinjaman perumahan, jadi mengapa mereka tidak boleh diberikan umur
bersara sehingga 60 tahun," katanya kepada pemberita pada Majlis
Perjumpaan bersama Ahli Persatuan Keluarga KEMAS Malaysia di Paroi, di
sini.
Omar berkata, pihaknya juga menuntut agar kesemua 200 kakitangan
KEMAS yang diberhentikan sejak beberapa bulan lalu, selepas sampai had
umur bersara wajib 58 tahun, diambil kembali dan disambung perkhidmatan
mereka sehingga 60 tahun seperti kakitangan berstatus tetap. - BERNAMA